Dua bentuk kemudahan yang diberikan oleh 
Allah SWT kepada manusia dalam urusan solat adalah secara Jama’ dan 
Qasar (الجمع والقصر).
Solat Jama’ dan Qasar adalah dua hakikat yang berbeza. Jama’ bermaksud menghimpunkan dua waktu solat dalam satu waktu, manakala Qasar pula adalah memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat sahaja.
Namun, seringkali persoalan Jama’ dan 
Qasar ini disalahfahami oleh masyarakat kita hari ini. Kebanyakan kita 
menganggap, Jama’ dan Qasar adalah untuk mereka yang bermusafir sahaja. 
Memang benar sekiranya seseorang itu bermusafir, dia dibenarkan 
melakukan solat secara Jama’ dan Qasar.
Perlu difahami bahawa, solat Qasar hanya 
boleh dilakukan khusus bagi mereka yang bermusafir sahaja (perjalanan 
melebihi 81km mengikut Mazhab Syafie). Dalilnya :
Maksudnya : Apabila kamu berjalan di 
muka bumi, maka tiada salahnya bagi kamu mengqasarkan solat, kalau kamu 
bimbang akan diganggu oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang 
kafir itu bagi kamu adalah musuh yang nyata. (An-Nisaa’ :101)
Namun begitu, solat Jama’ bukanlah 
khusus bagi mereka yang bermusafir sahaja. Mereka yang menetap dalam 
lingkungan kawasan sendiri, sekalipun dalam rumahnya sahaja (tidak 
keluar ke mana-mana) juga dibenarkan untuk melakukan solat secara Jama’ 
sekiranya ada alasan-alasan tertentu yang dibenarkan syara’. Buktinya 
dapat dilihat dengan jelas melalui Hadith Nabi SAW :
حدثنا أبو الزبير عن سعيد بن جبير عن ابن 
عباس قال : صلى رسول الله صلى الله عليه وسلم الظهر والعصر جميعا بالمدينة 
في غير خوف ولا سفر .قال أبو الزبير فسألت سعيدا لم فعل ذلك ؟ فقال سألت 
ابن عباس كما سألتني فقال أراد أن لا يحرج أحدا من أمته
Maksudnya :
 Dikhabarkan oleh Abu Zubair daripada Sa’id bin Jabir daripada Ibnu 
Abbas r.a berkata : Rasulullah SAW bersolat Zohor dan ‘Asar secara Jama’
 di Madinah bukan dalam keadaan takut mahupun bermusafir. Berkata Abu 
Zubair maka aku bertanya Sa’id “mengapa (baginda) melakukan demikian?” 
Maka katanya dia telah bertanya kepada Ibnu Abbas sepertimana aku, maka 
kata (Ibnu Abbas) baginda ingin mengeluarkan ummatnya daripada 
kesukaran.
(Hadith Sohih Muslim (No.705). Juga boleh didapati Hadith yang sama maksudnya dalam Sunan Tirmizi (No.187), Musnad Ahmad bin Hanbal (No.2557), Sohih Ibnu Khuzaimah (No.971), Mu’jam Al-Kabir (No.12516), Musnad Abi Ya’la (No.2401), Musannaf Abd Ar-Razaq (No.4435), Sunan Baihaqi Kabir (No.5334), Sohih Abi Daud (No.1070)).
Jelasnya, bagi mereka yang 
tidak bermusafir, dibolehkan melakukan solat secara Jama’, tanpa 
mengqasarkannya. Contohnya melakukan solat Zohor empat rakaat diikuti 
solat ‘Asar empat rakaat dalam waktu zohor.
Diantara alasan yang membolehkan menjama’kan solat selain kerana bermusafir ialah :
- Hujan yang lebat. Khusus bagi mereka yang solat 
berjemaah di masjid sahaja. Ia disebabkan sukar untuk kembali ke masjid 
setelah pulang ke rumah. Dalilnya :
 
عن ابن عباس : أن النبي صلى الله عليه وسلم 
صلى بالمدينة سبعا وثمانيا الظهر والعصر والمغرب والعشاء فقال أيوب لعله في
 ليلة مطيرة ؟ قال عسى
Maksudnya : 
Daripada Ibnu ‘Abbas r.a : Sesungguhnya Nabi SAW solat di Madinah tujuh 
dan lapan rakaat, Zohor dengan ‘Asar dan Maghrib dengan ‘Isya. Maka 
berkata Ayyub “Boleh jadi hujan lebat pada waktu malam?” Jawab Ibnu 
‘Abbas “Boleh jadi begitu.”
(Hadith dikeluarkan oleh Al-Bukhari dalam kitab Sohihnya (No.518). Hadith yang sama maksudnya juga dalam Sunan Abi Daud (No.1210))
- Sakit yang sukar untuk melakukan solat (kerana ke 
tandas dan bangun). Ia diqiaskan kepada keperluan menjama’kan solat 
kerana hujan disebabkan persamaan pada alasannya yakni membawa 
kesukaran.
 
- Ada keperluan tertentu (yang bermaksud baik). 
Dalilnya seperti yang telah dinyatakan dalam Hadith riwayat Muslim di 
atas, di mana Rasulullah tidak mahu menyukarkan atau memberatkan 
umatnya. Contohnya seperti seorang doktor yang melakukan pembedahan yang
 memakan masa berjam-jam. Dalam keadaan ini dia dibolehkan menjama’kan 
solat. Hal ini kerana, sekiranya dia menghentikan pembedahan untuk 
melakukan solat, maka dibimbangi akan memudharatkan pesakitnya.
 
Penerangan lanjut mengenai Solat Jama’ 
dan Qasar akan penulis huraikan dalam artikel akan datang. Semoga anda 
mendapat manfaat dari artikel ini. Terima Kasih.
Rujukan : Fiqhul Manhaji ‘Ala Mazhab As-Syafie, Fiqhus Sunnah, Software Maktabah Al-Hadith As-Syarif Wa ‘Ulumah
Tempahan Baitul Husna Homestay Melaka
Hubungi : Ariff (019-375 9091)